اهلا وسهلا

Terimakasih Anda telah mengunjungi kami di sini, semoga mendapat manfaat

Jumat, 25 Juli 2008

setahu saya masalah Nur Muhammad itu.........

Oleh Kang Kolis


Ajaran Nur Muhammad telah disusun dan dibukukan oleh tokoh-tokoh sufi seperti halnya Muhyiddin Ibnu Arabi. Ia menyebutkan bahawa konsep Nur Muhammad itu merupakan tajalli Allah (penampakan diri-Nya) yang menjelma dalam konsep Nur Muhammad dan dari sanalah awal ciptaan Allah. Ajaran ini disebutkan dalam bukunya Futuhat al-Makkiyah

Ajaran dari Ibn Arabi tersebut membuahkan ajaran wahdatul wujud yang kemudian diperdebatkan di kalangan ulama-ulama sufi. Tokoh lain yang membahas tentang Nur Muhammad adalah Abdul Karim al-Jilli.

Dia menyebutkan bahawa apa yang disebut insan kamil tiada lain adalah Nur Muhammad yang juga disebutnya dengan istilah haqiqat al-muhammadiyah. Penjelasan konsep ini dipaparkan dalam bukunya al-Insan al-Kamil fi al-Ma’rifati al-Awail wa al-Awakhir. Abd al-Karim ibn Ibrahim al-Jilli menyebutkan bahawa kalbu Nur yang dapat juga disebut Nur Muhammad adalah penghubung antara Allah dengan hambanya.

Konsep Nur Muhammad di samping kontroversial, ia juga complicated. Antara isu kontroversial dari Nur Muhammad ini adalah sebagaimana pandangan Syekh Yusuf al-Nabhani, menurutnya, “Nur Muhammad memiliki dua sifat, yakni qadim dan huduth (baru). Ia qadim ketika bertemu (liqa) dengan Tuhan. Dan ia baru (hadith) ketika bertemu dengan manusia dan alam”. Jadi manusia dan alam hanya dapat bertemu dengan Tuhan melalui Nur Muhammad. Sebab, Nur Muhammad adalah ”pintu Allah” (Bab Allah). Manusia dan alam itu fana’ (lebur) dalam Nur Muhammad. Jadi, makhluk (manusia dan alam semesta ini) tidak pernah ”tercampur”; ”lebur” dan ”berssatu-padu” dengan Tuhan.

Adapun dasar argumentai al-Nabhani adalah QS. Al-Fath (48): 8-9; al-Taubah (9): 62. Dalam ayat ini, Allah dan rasul-Nya disebut dalam dhamir mufrad (huwa); dan bukan dhamir muthanna (huma). Ini menunjukkan bahawa Allah dan Muhammad adalah ”satu”.

Bagi al-Nabhani, Nur Muhammad itu tercipta, dan tidak melimpah sebagaimana teori emanasi (al-faid) Plotinus. Sebab, ia bukanlah kaifiyah, ia bukan zat yang memiliki bentuk; ia hanya sebuah nama. Itulah sebabnya, al-Nabhani tidak menggunakan istilah al-hulul, al-lahut, al-nasut, dan atau wahdatul wujud dalam konsep Nur Muhammad-nya. Di samping ia hendak menunjukkan bahawa konsep Nur Muhammad bersumber dari Islam, bukan falsafah Greek.

Menurut Nabhani, ada dua ciptaan Tuhan paling awal, iaitu Nur Muhammad dan al-haba’. Daripada Nur Muhammad diciptakan qalam, lauh al-mahfuz, ’arsy, malaikat, langit, bumi dan segala isinya. Sedangkan al-haba’ adalah yang mula pertama diciptakan di alam ini dan melaluinya (al-haba’), al-haba’ menampakkan diri pada alam semesta.

Lain halnya dengan Efram Bar Nabba Bambang Norsena, penginjil Kanisah Ortodoks Syiria (KOS), ia menulis superioritas Yesus atas Muhammad lewat ide Nur Muhammad. Pada bab V dari bukunya, Bambang menulis tentang ”Isa Terang Dunia dan Nur Muhammad Dalam Tasawuf Islam.”

Tentang Isa, Bambang menyatakan: "Dzalika al-Nur aladdzi kana qabla al-'alam, wa al-Hikmat al-asasiyat al-'Aqliyat al-kaanahu qabla al-Duhr, wa al-Kalimat al-Hayy, al-kainu ma'a al-'Abi min al-'abad'i, alladdzi huwa Allah, al-mauludu al-'Awwal al-wahid min Allah, al-kainu qabla kulla khaliqat.” (Itulah Nur atau cahaya yang sudah ada sebelum alam semesta diciptakan, hikmat dan akal Ilahi yang sudah ada sebelum zaman-zaman, iaitu Firman yang hidup, yang bersama-sama dengan Bapa sejak kekal. Ia adalah Allah sendiri. Kerana firman itu satu-satunya yang keluar dari Allah dan pertama dilahirkan-Nya, sudah ada sebelum segala diciptakan). [Eusebius al-Qaisari, Tarikh al-Kanisah I, 2].

Ia menyatakan bahawa ungkapan sejarawan gereja, Eusebius dari Kaisare (wafat tahun 340) kutipan di atas, diterapkan bagi Isa al-Masih. Seperti ditekankan dalam Injil bahawa sebagai Firman Allah (logos), Isa disebut juga “hikmat, akal Allah”, dan “al-nur al-ladzi kana qabla al-'alam" (cahaya yang sudah ada sebelum alam sekalian).

Ungkapan Bambang ini menjadi complecated apabila dipertemukan dengan konsep Nur Muhammad dalam Tasawuf Islam sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadits, “Awwalu ma khuliqa nuriy, wa fi riwayatin ruhiy (Permulaan dari ciptaan Allah adalah nur-Ku, atau dalam riwayat lain sebagai ruh-Ku).

Namun perlu dicatat di sini bahawa meskipun “Nur Muhammad” dalam keyakinan tasawuf juga bersifat pra-ada (pre-existence), tetapi ia tetap sebagai ciptaan (al-makhluk). Sedangkan dalam Kristian, khususnya seperti ditegaskan dalam Injil, Yesus sebagai “Sabda Allah” sama-sama kekal dengan zat Allah sendiri. Kerana itu, “Sabda Allah” itu ghayr al-makhluq (bukan ciptaan).

Dalam tasawuf, konsep Nur Muhammad yang bermuara kepada pencitraan dan pemujaan kepada Nabi Muhammad Saw yang sangat tinggi, bahkan melampaui nabi dan rasul serta seluruh makhluk ciptaan Tuhan, masih tetap dicatat bahawa Muhammad adalah tetap abduh (hamba-Nya). Ia tidak diusung untuk mendekati derajat dan posisi ketuhanan, Muhammad tidak disembah. Jadi, konsep Nur Muhammad di sini, tidak mencemari kemurnian tauhid Islam, ia tetap saja abduh (hamba-Nya). Hal ini sebagaimana dipaparkan oleh A. Schimmel berkaitan dengan fenomena pujian kepada Nabi Muhammad Saw. Bahawa menurut sufi pertemuan dengan Tuhan agak susah, sehingga mereka menumpahkan pujian, penghormatan dan kerinduan kepada Nabi Saw. Meskipun Muhammad Saw. Dipuji dan dijunjung setinggi langit, ia tetap saja ”abduh” (hamba-Nya); manusia yang sangat dikasihi-Nya; ia tetap sosok manusia yang kepadanya sesama makhluk dapat berpaling dengan penuh kasih-sayang, harapan, dan pemujaan.

Annemarie Schimmel, menyebutkan bahawa Muhammad itu menempati kedudukan sebagai manusia sempurna. Allah mencipta microkosmos manusia sempurna (insan kamil). Pandangan di atas disebutkan dalam bukunya yang berjudul Mystical Dimension of Islam. Penelitiannya ini terkait dengan pandangan al-Hallaj tentang imanensi Tuhan melalui insan kamil (Nur Muhammad). Menurut Annnemarie Schimmel, pandangan al-Hallaj bersumber dari ajaran Greek.

Selanjutnya, antara ulama klasik dan moden di Nusantara yang melakukan kajian tentang Nur Muhammad dapat disebutkan sebagai berikut;

Syaikh Nur al-Din al-Raniri menulis tentang Nur Muhammad dalam kitabnya Bad’ Khalq al-Samawat wa al-Ard yang tercetak di tepi kitab Taj al-Muluk (tanpa tarikh). Antara nas-nas yang disebut di dalamnya ialah hadith qudsi yang terkenal yang bermaksud: “Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi, maka Aku kasih bahawa Aku dikenali, maka Aku jadikan makhluk, maka dengannya mereka mengenali-Ku”. Juga dinukilnya hadith bermaksud: “Sesungguhnya Allah menjadikan ruh nabi dari zat-Nya dan Ia menjadikan alam semuanya dari ruh Muhammad.” Maksudnya Ia menjadikan ruh nabi daripada tidak ada kepada ada dari Sisi-Nya, bukannya bermakna bahawa sebahagian daripada Tuhan dijadikan ruh nabi. Dinukilnya juga hadith yang bermaksud: “Aku dari Allah, dan orang mu’min dariku”. Ertinya sebagaimana yang dihuraikannya sendiri bahawa diri nabi adalah makhluk yang pertama yang dijadikan Allah dan sekalian diri orang mu’min itu dijadikan Allah daripada Baginda (iaitu daripada nurnya). Dinukilkan beliau juga hadith yang bermaksud: “Aku (Tuhan) menjadikan segala perkara kerana engkau (wahai Muhammad) dan Aku jadikan engkau kerana-Ku”. Juga dinukilkannya hadith yang bermaksud “kalaulah tidak kerana engkau Aku tidak jadikan sekalian falak ini.” Dinukilkan beliau juga hadith yang bermaksud: “Aku telahpun menjadi nabi walhal Adam berada antara air dan tanah”

Kemudian beliau menukil hadith Nur Muhammad. Antaranya ialah yang bermaksud: “Perkara yang paling awal yang diciptakan Allah ialah akal”; dan yang bermaksud: “Perkara yang paling awal yang diciptakan Allah ialah al-Qalam”; dan yang bermaksud; “Perkara yang awal sekali yang diciptakan Allah ialah ruh-ruh”. Beliau menghuraikan bahawa akal, qalam, dan ruh itu ialah kejadian Nur Muhammad Saw. sebagaimana yang terlihat dari hadith yang dinukilkan beliau yang bermaksud: “Perkara yang paling awal yang diciptakan Allah ialah nurku”. Dinukilkannya juga hadith yang bermaksud: “Perkara yang paling awal yang dijadikan Allah ialah ruhku”.

Mengikut Syaikh Nur al-Din, Allah menjadikan Nur Muhammad itu daripada pancaran Nur Ahadiah-Nya, yang beliau nukilkan ialah keterangan kitab al-Manzum yang bermakna: “Telah berdempeklah sifat Jalal dan sifat Jamal, maka ghaliblah jamal itu atas sifat jalal, Allah menjadikan Ruh Muhammad daripada dua sifat itu, diciptakan dari ‘adam kepada wujud.

Kata beliau bahawa selepas Allah menjadikan Nur Muhammad atau Ruh Muhammad, Ia pandang kepadanya dengan pandangan mahabbah atau kasih, maka ia malu dan berpeluh, dari peluhnya itulah dijadikan ruh-ruh sekalian anbia, aulia dan nyawa sekalian orang mu’min yang salih, dan dari nyawa sekalian mu’min yang salih itu dijadikan nyawa sekalian mu’min yang fasik, dari mu’min yang fasik dijadikan nyawa sekalian mu’min yang munafik dan mereka yang kafir.

Dan dijadikan dari nyawa insan itu nyawa sekalian malaikat, dan dari malaikat itu nyawa sekalian jin, dan dari jin itu nyawa sekalian syaitan, dan dari syaitan itu nyawa sekalian binatang, dari binatang itu nyawa sekalian tumbuh-tumbuhan, setengahnya mempunyai martabat yang melebihi yang lainnya; jadilah pula segala jenis nafas tumbuh-tumbuhan itu dan segala anasir hawa, api, air dan angin.

Kemudian beliau menyebut bagaimana Allah menilik dengan tilikan haibah pula, hancurlah ia, setengahnya menjadi air, setengahnya menjadi api yang menghanguskan air, keluarlah asap, naik ke angkasa, daripadanya Allah menciptakan tujuh petala langit. Setelah itu ada bakinya yang tinggal, daripadanya dijadikan matahari, bulan, dan bintang. Demikian seterusnya.

Beliau menukilkan pula riwayat yang lain, yang masyhur, bahawa Allah menjadikan sepohon kayu dengan empat dahannya, dinamakan Shajarat al-Yaqin. Kemudian dijadikan Nur Muhammad dalam bentuk burung merak, diletakkan atas pohon itu, lalu ia mengucap tasbih kepada Allah, selama tujuh puluh ribu tahun. Bila merak itu terpandang terlalu cantik rupanya, dengan elok bulunya, dan lainnya, sujudlah ia lima kali sujud, jadilah sujud itu kemudiannya sembahyang lima waktu yang wajib atas umat Muhammad Saw.

Antara kitab Jawi yang popular sebagai rujukan dalam masalah Nur Muhammad ialah kitab Kashf al-Ghaibiyyah karangan Zain al-‘Abidin al-Fatani rh. Dalam kitab “Kashf al-Ghaibiyyah” pada halaman 3 dst. terdapat bab awal berkenaan dengan penciptaan roh teragung, al-Ruh al-A’zam, iaitu nur Muhammad. Kata beliau:

“Sesungguhnya telah datang pada khabar bahawasanya Allah taala telah menjadikan satu pohon kayu yang memiliki empat dahan, dinamakan Syajarat al-Muttaqin (pokok orang-orang yang bertaqwa), dan pada setengah riwayat Shajarah al-yaqin (Pokok Keyakinan), kemudian Allah menjadikan Nur Muhammad di dalam hijab daripada permata yang sangat putih seumpama rupa burung merak dan dihantarkan keatas pohon kayu itu, di atas dahan pohon syajarat al-yaqin Nur Muhammad bertasbih selama tujuh puluh ribu tahun. Kemudian Allah menjadikan cermin malu, mir’at al-haya’, ketika burung merak menatap gambarnya di mir’at al-haya’ ia melihat dirinya begitu elok dan indah, sehingga ia merasa malu dan menyebabkannya berpeluh enam titik. Titik peluh yang pertama menjadi ruh Abu Bakar radiya’Llahu ‘anhu, dan daripada titik yang kedua itu menjadi ruh ‘Umar radiya’llahu ‘anhu dan daripada titik yang ketiga itu menjadi ruh ‘Uthman radiyallahu ‘anhu, dan daripada titik yang keempat itu menjadi ruh ‘Ali radiya’llahu ‘anhu, dan daripada titik yang kelima menjadi pohon bunga mawar dan daripada titik yang keenam menjadi padi”

Kemudian disebut bagaimana Nur Muhammad itu sujud lima kali, dengan itu, menjadi fardu sujud, lalu difardukan sembahyang yang lima waktu atas Muhammad dan ummatnya. Kemudian disebut Allah menilik kepada nur itu, lalu ia malu, berpeluh kerana malunya. Daripada peluh hidungnya Allah jadikan malaikat, daripada peluh mukanya Allah jadikan ‘arasy, Kursi, Lauh dan Qalam, matahari, bulan, hijab, segala bintang, dan barang-barang yang ada di langit. Daripada peluh dadanya dijadikan anbia, mursalin, ulama, syuhada dan solihin. Daripada peluh belakangnya dijadikan Bait al-Ma’mur, Ka’bah, Bait al-Maqdis, dan segala tempat masjid dalam dunia.

Disebutkan beberapa kejadian lagi daripada peluhnya itu:

Daripada peluh dua kening: mukminin dan mukminat dari umat Muhammad; Daripada peluh dua telinganya: arwah Yahudi dan Nasrani, dan Majusi, golongan mulhid, kafir yang engkar kebenaran, munafikin. Daripada peluh dua kaki: segala bumi dari Timur dan Barat dan yang ada di dalamnya.

Kemudian Allah memerintah nur itu supaya memandang ke hadapan, di hadapannya ada nur, di kanan dan kirinya juga nur. Mereka itu ialah Abu Bakar, ‘Umar, ‘Uthman, dan ‘Ali. Kemudian Nur itu mengucap tasbih selama tujuh puluh ribu tahun.

Kemudian diriwayatkan bahawa Allah menciptakan kandil daripada akik merah yang indah, bahagian dalamnya nampak seperti bahagian luarnya, kemudian dijadikan rupa Muhammad seperti Baginda di dunia ini, kemudian diletakkan di dalam kandil tersebut, berdiri Baginda di dalamnya seperti berdirinya di dalam sembahyang; kemudian roh segala anbia dan lainnya berkeliling di sekeliling kandil nur Muhammad ‘alaihis-salam, mengucap tasbih dan mengucap tahlil selama seratus ribu tahun; kemudian Allah menyuruh segala ruh itu menilik kepadanya; yang menilik kepada kepalanya menjadi khalifah dan sultan antara sekalian makhluk; yang menilik kepada dahinya menjadi amir yang adil; yang menilik kepada dua matanya menjadi hafiz kalam Allah; yang melihat dua keningnya menjadi tukang lukis; yang melihat kepada dua telinganya jadilah ia menuntut dengar dan menerima (pengajaran); yang melihat dua pipinya jadilah ia berbuat baik dan berakal; yang melihat dua bibir mulutnya menjadi orang-orang besar raja. Yang melihat hidung menjadi hakim dan tabib dan penjual bau-bauan. Yang melihat mulut menjadi orang puasa. Demikian seterusnya dengan melihat anggota tertentu, jadilah orang itu mempunyai sifat-sifat tertentu di dunia nanti. Misalnya yang melihat dadanya menjadi orang alim, mulia dan mujtahid. Dan orang yang tidak menilik sesuatu kepadanya jadilah ia mengaku menjadi Tuhan seperti Fir’aun dan yang sepertinya.

Beliau menyebut hadith qudsi ( كنت كنزا مخفيا فأحببت أن أعرف فخلقت الخلق لاعرف ) Adalah Aku perbendaharaan yang tersembunyi maka Aku kehendak akan diperkenal akan daku maka Aku jadikan segala makhluk supaya dikenalnya akan daku.

Kemudian beliau menyebut hadith Nabi Saw. أول ما خلق الله تعالى نورى وفى رواية روحى . Ertinya yang awal-awal dijadikan Allah taala itu nurku dan pada suatu riwayat ruhku. Kata pengarang ini: Maka adalah sekalian alam ini dijadikan Allah subhanahu taala daripada sebab nur Muhammad Saw. seperti yang teleh tersebut. Lalu ia menyebut pula hadith qudsi: خلقت الاشياء لاجلك وخلقتك لاجلى . Ertinya: Aku jadikan segala perkara itu kerana engkau ya Muhammad dan Aku jadikan akan dikau itu kerana Aku, yakni dijadikan nur Muhammad itu dengan tiada wasitah suatu jua pun.

Demikianlah, Melalui kitab terkenal ini tersebar fahaman tentang konsep Nur Muhammad di kalangan Muslimin nusantara.

Selanjutnya, pada tahun 1304 H. Syaikh Muhammad bin Isma’il Daud al-Fatani rh. mengarang kitab al-Kaukab al-Durri fi al-Nur al-Muhammadi dierbitkan oleh Khazanah al-Fattaniyyah, Kuala Lumpur. Kitab ini berbicara tentang Nur Muhammad dari halaman 2-7. Isinya berdasarkan riwayat Ka’ab al-Akhbar, sebagaimana yang ada dalam kitab Kashf al-Ghaibiyyah karangan Syaikh Zain al-‘Abidin al-Fatani. Antara maklumatnya ialah: Tuhan menggenggam satu genggam daripada Nur-Nya, diperintah menjadi Muhammad, terjadilah Muhammad, ia menjadi tiang, sujud kepada Allah, lalu nur itu dibahagi kepada empat bahagian. Pertama menjadi Lauh, kedua Qalam, qalam diperintah supaya menulis, sampai kepada umat nabi-nabi, yang taat dan yang derhaka, dengan akibat-akibat mereka. Disebutkan pula riwayat tentang siapa yang melihat nur itu pada bahagian-bahagian tertentu jadilah ia mempunyai sifat-sifat tertentu. Sekalian makhluk dijadikan daripada nurnya. Syekh Muhammad mengakhiri pembahasannya dengan menyebut bahawa makhluk apabila sembahyang membentuk huruf Ahmad dan Muhammad, berdiri qiyam seumpama alif, ruku’ seumpama ha’, sujud seumpama mim, duduk seperti rupa dal. Juga dikatakan makhluk dijadikan atas rupa huruf nama Muhammad (محمد), kepala bulat seperti mim, dua tangan seperti rupa ha’, perut seperti rupa mim, dua kaki seperti rupa dal.

Syaikh Ahmad ibn Muhammad Yunus Langka menerjemahkan kitab Daqa’iq al-Akhbar fi Dhikr al-jannah wa al-Nar. Diterjemahkan pada 1312 Hijrah di Makkah dahulunya diterbitkan oleh Dar Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyyah, Mesir. Kemudian ia diterbitkan oleh Maktabah wa Matba’ah al-Ma’arif, Pulau Pinang, tanpa tarikh. Isi kitab ini berkenaan dengan Nur Muhammad Saw., asal kejadiannya, bagaimana semua makhluk dijadikan daripadanya. Isi kandungan kitab ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Syaikh Zain al-‘Abidin dalam Kasshf al-Ghaibiyah yang menjadikan kitab ini sebagai satu daripada sumber-sumbernya, sebagaimana yang dinyatakan dalam bahagian permulaan kitabnya.

Nawawi al-Bantani rh menulis kitab Madarij al-Su’ud ila ‘ktisa’ al-Burud, dalam Bahasa Arab, syarah bagi kitab Maulid al-Barzanji. Dalam mensyarahkan kata-kata dalam al-Barzanji bermaksud “Segala puji-pujian bagi Allah yang membuka (seluruh) wujud ini dengan Nur Muhammad (al-Nur al-Muhammadi) yang mengalir dalam tiap-tiap perkara (perkara yang ditakdirkannya oleh Allah taala sebelum daripada Ia menjadikan langit-langit dan bumi selama lima puluh ribu tahun).

Kemudian kata Syaikh Nawawi rh lagi menukil Ka’ab al-Akhbar, Allah meredhainya: “Bila Allah hendak menjadikan sekalian makhluk dan mengamparkan bumi dan menegakkan langit, Ia mengambil segempal daripada nur-Nya lalu berfirman ”Jadilah kamu Muhammad”, maka jadilah ia sebagai tiang daripada nur dan gemilang bercahaya sehingga sampai kepada hijab zulmah kemudian ia sujud, sambil katanya: Al-hamdulillah, kemudian Allah berfirman ”kerana itu Aku jadikan engkau dan menamakan engkau Muhammad, daripada engkau Aku memulakan penciptaan dan (dengan engkau) Aku mengkhatamkan sekalian rasul”; kemudian Allah taala membahagikan nurnya itu kepada empat bahagian, dijadikan daripada yang pertamanya lauh daripada yang keduanya al-qalam, kemudian Allah berfirman kepada qalam tulislah, kemudian qalam, selama seribu tahun kepara kehebatan Kalam Allah taala kemudian ia berkata; Apa yang hamba hendak tuliskan, Tuhan berfirman ‘Tulislah ‘la ilaha illa’Allah Muhammadun Rasulullah’ maka qalam pun menulis yang demikian itu, kemudian ia menjadi terbimbing kepada Ilmu Allah dalam makhluk-Nya, kemudian ia menulis anak-anak Adam siapa yang taat akan Allah dimasukkan-Nya ke dalam Syurga dan siapa yang derhaka kepada-Nya dimasukkan-Nya ke dalam Neraka;

Kemudian (ia menulis) tentang umat Nuh, siapa yang taat kepada Allah dimasukkan ke dalam Syurga dan siapa yang derhaka kepada-Nya dimasukkan ke dalam Neraka…

Demikian seterusnya dengan menyebut umat nabi Ibrahim, umat nabi Musa, umat Nabi ‘Isa, sampai kepada umat nabi Muhammad Saw., kemudian bila qalam hendak menulis siapa yang derhaka dari umat Muhammad akan dimasukkan ke dalam Neraka, terdengar suara dari Tuhan yang Maha Tinggi ‘wahai qalam, beradablah, maka pecahlah qalam kerana rasa haibah itu. Kemudian keterangan dalam kitab ini diikuti dengan sebutan tentang bahagian ketiga dijadikan ‘arasy, dan bahagian yang keempat dibahagi empat pula daripada yang awalnya dijadikan akal, daripada yang kedua dijadikan ma’rifah, daripada yang ketiga dijadikan cahaya ‘arasy, dan cahaya mata, serta cahaya siang, maka tiap-tiap cahaya ini adalah daripada Nur Muhammad.

Kemudian dinyatakan yang bahagian yang keempat itu diletakkan di bawah ‘arasy sehinggalah Allah menjadikan Adam as, maka Allah letakkan nur itu pada belakangnya, dan dijadikan para malaikat sujud kepadanya, dimasukkannya ke dalam Syurga, walhal para malaikat bersaf di belakang Adam, melihat kepada nur Muhammad. Bila Adam alaihis-salam bertanya mengapa malaikat berdiri di belakangnya bersaf Allah menjawab mereka itu sedang melihat kepada nur kekasihNya Muhammad yang menjadi khatam sekalian rasul dan anbia. Kemudian Adam meminta nur itu dipindahkan ke hadapan, lalu diletakkan pada dahi Baginda. Maka malaikat mengadap wajahnya pula. Adam meminta pula dipindahkannya lalu diletakkan pada jari telunjuknya supaya ia boleh melihatnya; maka bertambah-tambahlah cantiknya nur itu. Kemudian disebut nur itu dipindah kepada Hawwa, kemudian kepada nabi Shith, dan seterusnya. Demikianlah nur itu berpindah daripada satu rahim yang suci kepada rahim suci yang lain, sampai ia kepada sulbi ‘Abdullah bapanya, kemudian keluarlah ia ke dunia melalui rahim ibunya.

Pelbagai model fahaman Nur Muhammad merupakan hasil ijtihad sufi tentang perwujudan alam dan hubungannya dengan Tuhan. Ia sukar dimengerti oleh kebanyakan masyarakat sekarang, kerana kebanyakan sufi dalam memaparkan pengalamannya menggunakan simbol-simbol dan bahasa yang terhad sesuai dengan pengalamannya dan tingkat pemahaman masyarakat pada masa itu yang mungkin telah tidak sesuai lagi dengan metode dan sistematika ilmiah sekarang. Justru, materi yang disampaikan oleh sufi adalah informasi ghaib yang diperolehnya pada saat mata hati mampu menyaksikan rahsia kebenaran Tuhan melalui kasyf. Informasi ghaib itu berupa cahaya yang terpancar ke dalam dada sufi. Cahaya itulah yang menurut al-Ghazali berperan sebagai kunci dari sebahagian besar pengetahuan. Akhirnya, dapat dimaklumi kiranya keterangan sufi tentang Nur Muhammad menjadi tidak bermakna bagi sebahagian orang dan dianggap menyesatkan.

Belakangan, beberapa ilmuan muslim moden juga melakukan studi tentang teori Nur Muhammad. Simuh, dalam kajiannya tentang mistik Islam mengemukakan bahawa, pancaran pertama dinamakan Nur Muhammad atau Hakikat Muhammadiyah. Dari Nur Muhammad itulah tercipta segala sesuatu di alam semesta ini termasuk juga manusia. Dalil yang mendasari teori al-Hallaj tersebut bersifat israilliyyat dan bersumber dari Perjanjian Lama iaitu tentang penciptaan Adam, di mana Allah menciptakannya segambar dengan Dia (Allah). Studi ini disebutkan dalam bukunya Tasawuf dan Perkembangannya dalam Islam.

Pengkaji Nur Muhammad yang lain adalah Harun Nasution. Dalam hal ini, Harun menggunakan istilah qarib, iaitu dekatnya makhluk dengan Allah. Gagasan Harun Nasuton ini diinspirasi oleh Ibn Arabi. Ia juga menggunakan nash atau hadith yang dimaksud berbunyi:

كنت كنزا مخفيا فأحببت أن أعرف فخلقت الخلق فبي عرفوني

Terjemahnya:

Aku pada mulanya harta yang tesembunyi, kemudian Aku ingin dikenal, maka Kuciptakan makhluk dan melalui Aku, merekapun kenal pada-Ku.

Kajian Harun tersebut menyebutkan bahawa Tuhan dengan makhluk pada hakekatnya adalah satu. Kerana melalui makhluk, Tuhan dikenal. Kajian ini disebutkan dalam bukunya falsafah dan Mistisisme dalam Islam.

Ada pula penulis temukan Antologi Hikayat Nabi Muhammad; suatu analisis, tajuk bagi sebuah hasil kajian tentang Nabi Muhammad ke atas buku Inilah Hikayat Nur Muhammad dan Nabi Bercukur dan Nabi Wafat Adanya oleh Ismail Hamid. Kitab yang dikaji ini amat popular di kalangan masyarakat Melayu pada masa yang silam. Ia telah dibacakan dalam perayaan-perayaan keagamaan di seluruh alam Melayu, dan sekarang pun masih lagi diminati.

Dalam kajiannya, Ismail Hamid membincang tentang asal-usul isi kandungan dan bahasa yang digunakan Kitab Hikayat. Dikatakan bahawa hikayat mengenai Nabi Muhammad ini banyak mengandungi unsur fiksyen dan fantasi, padahal cerita tentag Nabi Muhammad mulanya berasal daripada fakta-fakta yang realiti yang didasarkan kepada biografi Nabi Muhammad atau Sirah al-Nabi yang digubahkan oleh para sejarawan Islam.

Hikayat Nabi Muhammad, ujarnya, dituturkan oleh tukang-tukang cerita mengikut daya kreatif mereka sendiri sehingga hikayat Nabi Muhammad itu berkembang menjadi sebuah fiksyen mengenai Nabi Muhammad. Unsur-unsur folkor dan fiksyen dimasukkan ke dalam hikayat Nabi Muhammad untuk menarik minat dan perhatian orang awam dan masyarakat kampung yang buta huruf. Ismail Hamid dalam pendapatnya ini tidak mengecualikan pembahasan tentang Nur Muhammad, kerana memang pembahasan ini selalu menjadi inti daripada hikayat Nabi Muhammad. Hamid tidak menganggap keterangan dalam hikayat Nabi Muhammad, termasuk di dalamnya kisah tentang Nur Muhammad, sebagai kebenaran, tapi telah dianggap benar oleh masyarakat Melayu.

Kajian yang dilakukan Hamid tentang Hikayat Nabi Muhammad menggunakan metode komparasi dengan hikayat yang sama tetapi dalam Sastera Arab yang dibuat oleh segolongan yang semula disebut ahl al-hadith atau ahl-sunnah, tetapi oleh sebab golongan ini tidak begitu mementing tentang ramainya para rawi yang melaporkan segala berita mengenai Nabi Muhammad, maka golongan ini diasingkan dari kumpulan yang dipanggil ahl al-sirah atau sarjana biografi. Justru itu para ahli al-hadith tidak mengakui bahan penyelidikan mereka sebagai al-hadith dan sunnah. Di sini pengkaji mencoba mengambil kesimpulan punca penglibatan hadith ‘dha’if’ dan ‘palsu’ dalam banyak cerita tentang Nur Muhammad

Abdul Fatah Haron Ibrahim telah berkali-kali mengkaji ajaran-ajaran yang dianggapnya salah dalam masyarakat Islam. Dikatakan, beliau telah membuat rujukan khas terhadap kes-kes di rantau ini dan di dalam masyarakat Islam di negara-negara lain. Sejak tahun 1980-an beliau telah aktif membuat kajian terhadap faham keagamaan bidang tasawuf khususnya yang dianggapnya berpunca daripada ajaran wahdatul wujud Hamzah Fansuri dan Syamsuddin Sumantrani. Antara kajiannya yang telah diterbitkan adalah yang bertajuk Ajaran Sesat dicetak pertamakali pada tahun 1985, pada tahun 1999 diterbitkan hasil kajiannya tentang Ahli Sunnah dan Wujudiah-Batiniah (Mengenai Ajaran Salah), pada tahun 2000 Pensyarah Jabatan Ushuluddin dan Falsafah UKM ini bersama JAKIM menerbitkan kajiannya tentang Sanggahan ke Atas Kitab Kasyf al-Asrar, kemudian pada tahun 2005 pula JAKIM menerbitkan hasil kajiannya yang bertajuk Sanggahan ke Atas Kitab al-Durr al-Nafis. Usaha beliau ini patut dibaca oleh setiap umat Islam.

Dalam banyak kajiannya, Haron selalu mendedahkan bagaimana konsep ketuhanan yang menurut beliau telah disalahertikan oleh penyokong ajaran wahdatul wujud dan batiniah. Kata beliau ajaran wahdatul wujud, termasuk juga kefahaman Nur Muhammad tidaklah dapat dimasukkan ke dalam kumpulan ahlissunnah wal jamaah.

Haron secara cermat telah menguji ajaran-ajaran teosofi itu dengan menggunakan metod al-Quran dan Hadith, gaya ahli fiqah dan teolog, tetapi seakan beliau lupa untuk menggunakan pendekatan filosofis, kerana objek yang diujinya, khasnya fahaman wujudiyah adalah pembahasan tentang tasawuf menurut sufi filosof. Di sini, tanpa diberitahu pun sebenarnya telah dapat ditebak kesimpulannya, iaitu ajaran para sufi tentang Nur Muhammad dan Haqiqat Muhammadiyah tidak ada yang benar, semuanya salah dan bid’ah. Kesimpulan yang pasti ini terjadi oleh sebab Haron adalah ulama sunni non-sufi, menggunakan pendekatan non-sufi mencoba menguji teori yang dibina di atas tapak intuisi.

Dari sekian banyak kritik Haron terhadap teori Nur Muhammad, antaranya ada yang sekedar memberi kesan bahawa teori ini adalah teori falsafah yang diambil daripada konsep Logos yang mula diperkatakan oleh seorang ahli falsafah Greek bernama Heroclitus (578-480 SM). Menurutnya, logos ialah pengertian akal, atau budi, atau udang-undang alam, atau sunnatullah, atau al-nafs al-kulliyyah. Di sini Prof. Haron tidak mengatakan secara tegas bahawa teori Nur Muhammad adalah sesat, penialaiannya terpulang kepada pembaca.

Penulis juga menemukan kajian Abdullah al-Qari, Sarjana Muda Sastera (Pengajian Islam); Dengan Kepujian, Universiti Malaya tentang Salah Faham tentang Nur Muhammadi. Terhadap tajuk ini semula dapat ditangkap kesan bahawa sang pengkaji akan memaparkan pemahaman yang salah ke atas ajaran Nur Muhammad ditinjau dari kaca mata tasawuf, namun yang beliau lakukan tidak berbeza dari apa yang dilakukan oleh Abdul Fatah Haron, iaitu dengan pendekatan fiqah dan teologi, bahkan pada beberapa kes beliau sebenarnya hanya mengkritik pemahaman beliau sendiri akan konsep Nur Muhammad. Sebagai contoh, kesalahan beliau memahami pendapat sufi tentang pancaran Haqiqat Muhammadiyah: “Nur Muhammadiyah tetap ada (biarpun tubuhnya telah wafat), sebab ia adalah bahagian daaripada Tuhan”. Ayat yang bergaris bawah adalah penafsiran al-Qari atas ayat sebelumnya, mengesankan bahawa beliau mengertikan Muhammadiyah sebagai Nabi Muhammad saw, dan ke atas penafsiran yang salah seprti ini kadang-kadang beliau membina kritikan.

Kajian Abdullah al-Qari, katanya, “berupaya untuk menyingkap kekeliruan mengenai perkara penting yang menjadi tunjang ‘aqidah ini” dengan memaparkan suatu terjemahan yang diubahsuaikan daripada kitab an-Nur al-Muhammadi susunan Adaab Mahmuud al-Hamasy, berisikan kumpulan hasil kajian al-Hamasy tentang kedudukan hadith-hadith Nabi saw mengenai tajuk ini.

Kalau Hamid dalam kajian komparasinya mencuba menemukan punca penggunaan simbol-simbol dan hadith-hadith palsu dalam teori Nur Muhammad, manakala Haron dan Abdullah al-Qari berupaya mendedahkan bahawa hadith-hadith itu memang palsu berdasarkan pemikirannya mengikut teori sebahagian ahli hadith. Baik Hamid mahupun Haron dan Abdullah sama-sama mengkaji kefahaman Nur Muhammad dimulakan daripada persepsi bahawa teori Nur Muhammad itu tidak benar adanya, sehingga perlu didedahkan kesalahan-kesalahannya.

Menanggapi kritik dan tuduhan yang bertubi-tubi ke atas penganut fahaman Nur Muhammad dan Haqiqat Muhammadiyah, terdapat ramai ahli dan penyokong teori Nur Muhammad berusaha dengan bertungkus lumus untuk memberi argumen dan pembelaan, sebagaimana boleh dilihat pada beberapa laman internet dan buku. Antaranya ada yang lumayan cerdik dalam menanggapi kritikan daripada ahli hadith dan tafsir dengan menggunakan metode kajian mengikut ahli hadith dan tafsir. Di sini beliau mengungkapkan hadith-hadith, dan tafsiran ayat al-Qur’an mengikut tafsiran dan ulasan ulamak muktabar.

Penulis menemukan tulisan Hj. Wan Mohd. Shaghir Abdullah yang bertajuk Penutup Perdebatan Islam Alaf Kedua di Dunia Melayu. Dalam bukunya ini, beliau memaparkan tanggapannya terhadap beberapa ertikel dalam bentuk makalah atau buku yang menentang teori Nur Muhammad. Antaranya Wan Mohd Shaghir mendedahkan bahawa di antara para penentang teori Nur Muhammad itu ada yang melakukan kesalahan dalam menterjemahkan ayat-ayat atau frasa tentang konsep teori Nur Muhammad yang dipaparkan oleh para sufi. Lebih teruk lagi, seperti yang berlaku pada polemik peringatan maulid, sang penulis tidak menyalin lafaz arabnya, tetapi hanya memaparkan apa yang ia pahami daripada lafaz arab yang ada pada bait Maulid al-Barzanji itu dan ternyata salah.

Kajian Wan Mohd. Shaghir adalah sebuah pembelaan pemikiran dengan pendekatan kritik metodologis keatas pemikiran para pihak yang menyerang pemikiran teori Nur Muhammad. Masalah penentangan hadith tentang Nur Muhammad dikatakan oleh Wan Mohd Shaghir bahawa mereka yang menentang itu lantaran berdasarkan sesuatu teori atau pendapat--yang tidak tentu disetujui oleh ahli hadith yang lain--sehingga hadith itu mereka tolak. Maka dengan penentangannya itu bererti mereka telah melakukan pengingkaran terhadap sunnah dan menggunakan akal semata-mata. Hal ini terbukti apabila sesuatu hadith dapat diterima oleh golongan lainnya, atau seseorang ulama, atau disebut dalam kitab-kitab turas terkenal, atau ada seseorang ahli hadith dapat menerima tetapi ditolak oleh seseorang ahli hadith atau sekelompok kecil di antara mereka, padahal penentangan itu hanya berdasarkan teori semata-mata. Yang demikian itu, kata beliau adalah “inkar sunnah” namanya.

Dr. Uthman Yahya mentahkik kitab Futuhat al-Makiyyah karangan Ibn Arabi. Beliau katakan bahawa kitab Futuhat telah dicetak dalam pelbagai versi, oleh itu bagi keperluan kajiannya beliau menggunakan 3 buah kitab futuhat, iaitu kitab futuhat yang asli tulisan tangan Ibn Arabi, futuhat yang ditulis oleh pengikut Arabi apabila Arabi masih hidup, dan kitab Futuhat yang ditulis oleh pengikutnya manakala Arabi telah wafat.

Dalam kajiannya ke atas Futuhat al-Makkiyyah, Uthman Yahya memberikan penjelasan yang sangat berkesan tentang karangan Syaikh Akbar Ibn Arabi yang terkenal susah dimengerti itu. Bukan hanya pemaparannya yang pelik, tetapi juga judul dan sub-sub judul dalam Futuhat banyak menggunakan istilah-istilah simbolis oleh Yahya dijelaskan dengan bahasa yang mudah dipahami. Dalam banyak ulasannya beliau memberikan dukungan ilmiah ke atas isi kitab ini, termasuk sub bab Haqiqat Muhammadiyah.

Sementara, pada lamanweb di internet, penulis menemukan beberapa postingan yang bernada membela dan menyokong teori Nur Muhammad. Antaranya ada yang berupa paparan argumentatif yang cukup panjang dan lebar dengan mendedahkan beberapa konsepnya mengikut para ahli--mushannif al-kutub--yang mu’tabar di kalangan ahlussunnah wal jama’ah. Dalam pembelaannya itu beliau menjelaskan bahawa berdasarkan kajian ke atas riwayat-riwayat berdasarkan dokumentasi para mufassirin dan muhaddithin dapat disimpulkan Bahawa Nabi Muhammad saw sudah ada hakikatnya, nurnya, sebelum sekalian makhluk dijadikan. Bahkan nurnyalah yang merupakan makhluk pertama yang dijadikan oleh Tuhan, sebagai kekasih-Nya. Ia juga punca bagi sekalian makhluk yang lain, baik alam tinggi atau alam bawah atau alam rendahnya, alam yang boleh dipandang dengan mata atau alam yang tidak boleh dipandang dengan mata. Ia makhluk yang terawal dicipta dan yang terkemudian sekali dibangkit dengan jasad dan rohnya dalam sejarah alam ini. Namun kewujudannya sebagai nabi dan rasul diketahui oleh sekalian nabi dan rasul dalam seluruh sejarah umat manusia, antaranya, khususnya jelas daripada hadith-hadith berkenaan dengan Isra’ dan Mi’raj yang banyak dinukil oleh Ibn Kathir dalam Tafsirnya berkenaan dengan ayat awal Surah bani Isra’il.

Postingan lain menyatakan bahawa teori Nur Muhammad bukan diadaptasi daripada pemikiran falsafah Greek, khasnya falsafah emanasi dalam konsep proses penciptaan alam semesta. Katanya, “tidak ada tercatit dalam sejarah berlaku “peminjaman” idea ini dalam ulama kita, kecuali ada penyelidikan kemudian yang mengikuti kaedah yang boleh diterima oleh ahli ilmu kita”. Kalau terlintas untuk minda siapa membuat tanggapan bahawa ini pantheisme, ini juga tidak timbul, sebab pantheisme adalah falsafah Barat yang baharu timbul dalam abad ke IX yang memaksudkan serba-Tuhan, semuanya juzuk-juzuk daripada Tuhan, walhal ini bukan demikian. Yang diajarkan ialah bahawa Tuhan menjadikan nur Baginda sebagai makhluk terawal, yang menjadi punca segalanya kemudian Baginda muncul dengan jasadnya dan rohnya bila tiba gilirannya di akhir zaman.

Masih daripada laman internet ada ditemukan kajian orang yang membuat sanggahan ke atas tuduhan bahawa teori Nur Muhammad itu tidak masuk di akal yang waras. Dengan menganalogikan kepada teori fisika. postingan itu menjelaskan: “Dunia yang ada ini dengan benda-bendanya tidak “pejal’ bahkan ia samaada bersifat sebagai gelombang atau zarrah yang tidak menentu sifatnya, samaada gelombang atau zarrah. Yang kelihatan pejal, keras pada pandangan mata, pada neraca teori quantum adalah tidak demikian. Dikatakan kalau mengikut fikiran secara ‘biasa” e=mc2 adalah tidak munasabah; tetapi pada ahlinya ia bukan sahaja ‘munasabah’ tetapi ada kebenarannya yang sangat nyata”.

Selanjutya, penjelasan yang menggunakan logika filosofis nampak dalam logika argumentasi bahawa benar manusia adam dicipta daripada tanah tetapi hakikatnya tanah itupun asalnya daripada ‘nur’, yang kemudian dimanifestasikan dalam bentuk tanah dan lainnya. Dengan itu, ‘nur’ nabi itu bukan sahaja maknawi, secara bahasa misalan, tetapi memang hakikatnya ia nur, yang melintasi sekalian nur, sehingga ia makhluk yang berupa nur yang daripadanya dijadikan nur-nur yang lain dan zat-zat yang lain. Kalau sekarang mereka berbicara tentang alam dari segi elektron, proton, neutron, ‘quarks’, ‘photon’ dan apa lagi, maka pada kita, sekalian daripada itu semua, dasar segalanya adalah asalnya ‘nur’ nabi kita. Yang lain-lain itu, bila benar pada pengamatan ilmiah yang mentaati syarat-syaratnya boleh diterima.

Dari kajian, penelitian melalui literatur baik yang berbahasa Arab, Inggeris mahupun yang berbahasa Indonesia dan Melayu sebagaimana telah disenaraikan di atas, penulis berpendapat bahawa kajian tersebut sangat berkualiti, namun antara kajian-kajian yang ada tidak satupun yang menjadikan kebatinan jawa sebagai objeknya. Padahal sebagaimana telah disinggung pada pendahuluan bab ini, pelbagai pembahasan tentang Nur Muhammad juga banyak dilakukan oleh kebatinan Jawa.

Muhyiddin Ibn Arabi. 1972. Futuhat al-Makkiyah. Kairo, al-Hai’ah al-Misrhriyyah al-‘Ammat li al-Kitab.

Abd al-Karim ibn Ibrahim al-Jilli. 1975. Al-Insan al-Kamil fi Ma’rifat al-awa’il wa al-Awakhir. Beirut, Dar al-Fikr, hlm. 71-75.

Syekh Yusuf al-Nabhani, t.th, Al-Anwar al-Muhammadiyah min al-Mawahib al-Ladunniyah. Indonesia, Maktabah Dar al-Ihya al-Kutub al-Arabiyah, hlm. 11-16.

Bambang Nur Sena. 2001. Menuju Dialog Teologis Kristen-Islam. Yogyakarta. Yayasan ANDI.

Lihat Annemarie Schimmel, And Muhammad is His Messenger, terj. Rahmani Astuti. 1993. Dan Muhammad adalah Utusan Allah. Bandung, Mizan. hlm. 199.

Annemarie Schimmel. 1975. Mystical Dimension of Islam. Chapel Hill. The University of North California Press.

Syaikh Nur al-Din al-Raniri, t.th. Bad’ Khalq al-Samawat wa al-Ard, hlm. 10. Lihat 2001, “Kosmologi para Fuqaha & Ulama Sufiah Dalam pemikiran Melayu”, dalam Kosmologi Melayu, penyelenggaraan Yaacob Harun, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hlm.10-22.

Syaikh Nur al-Din al-Raniri, t.th. Bad’ Khalq al-Samawat wa al-Ard, hlm. 10.

Syaikh Nur al-Din al-Raniri, t.th. Bad’ Khalq al-Samawat wa al-Ard, hlm. 10.

Syaikh Nur al-Din al-Raniri, t.th. Bad’ Khalq al-Samawat wa al-Ard, hlm. 10.

Syaikh Nur al-Din al-Raniri, t.th. Bad’ Khalq al-Samawat wa al-Ard, hlm. 10.

Syaikh Nur al-Din al-Raniri, t.th. Bad’ Khalq al-Samawat wa al-Ard, hlm. 11.

Syaikh Nur al-Din al-Raniri, t.th. Bad’ Khalq al-Samawat wa al-Ard, hlm. 11.

Syaikh Nur al-Din al-Raniri, t.th. Bad’ Khalq al-Samawat wa al-Ard, hlm. 11.

Syaikh Nur al-Din al-Raniri, t.th. Bad’ Khalq al-Samawat wa al-Ard, hlm. 11.

Syaikh Nur al-Din al-Raniri, t.th. Bad’ Khalq al-Samawat wa al-Ard, hlm. 11.

Syaikh Nur al-Din al-Raniri, t.th. Bad’ Khalq al-Samawat wa al-Ard, hlm. 11.

Syaikh Nur al-Din al-Raniri, t.th. Bad’ Khalq al-Samawat wa al-Ard, hlm. 11.

Syaikh Nur al-Din al-Raniri, t.th. Bad’ Khalq al-Samawat wa al-Ard, hlm.12.

Syaikh Nur al-Din al-Raniri, t.th. Bad’ Khalq al-Samawat wa al-Ard, hlm. 13.

Syaikh Nur al-Din al-Raniri, t.th. Bad’ Khalq al-Samawat wa al-Ard, hlm. 13.

Syaikh Nur al-Din al-Raniri, t.th. Bad’ Khalq al-Samawat wa al-Ard, hlm.13.

Kitab Kashf al-Ghaibiyyah dikarang oleh Zain al-‘Abidin al-Fatani berdasarkan karangan asalnya “Daqa’iq al-Akhbar fi Dhikr al-Jannah wa al-Nar” karangan Imam ‘Abd al-Rahim bin Ahmad al-Qadhi, dan kitab “Durar al-Hisan” karangan al-Suyuti, dan “Mashariq al-Anwar” oleh Shaikh Hasan al-‘Adawi, Maktabah wa Matba’ah Dar al-Ma’arif, Pulau Pinang, t.t. Kitab ini dikarang oleh beliau pada tahun 1301 Hijrah.

Zain al-‘Abidin al-Fatani, t.th. Kashf al-Ghaibiyyah. Pulau Pinang, Maktabah wa Matba’ah Dar al-Ma’arif, hlm. 3.

Zain al-‘Abidin al-Fatani, t.th. Kashf al-Ghaibiyyah, hlm. 3-4.

Zain al-‘Abidin al-Fatani, t.th. Kashf al-Ghaibiyyah, hlm. 4.

Zain al-‘Abidin al-Fatani, t.th. Kashf al-Ghaibiyyah, hlm. 5.

Zain al-‘Abidin al-Fatani, t.th. Kashf al-Ghaibiyyah, hlm. hlm. 5.

Zain al-‘Abidin al-Fatani, t.th. Kashf al-Ghaibiyyah, hlm. hlm. 6.

Zain al-‘Abidin al-Fatani, t.th. Kashf al-Ghaibiyyah, hlm. hlm. 6.

Syaikh Muhammad bin Isma’il Daud al-Fatani rh. 2001. al-Kaukab al-Durri fi al-Nur al-Muhammadi. Kuala Lumpur. Tterbitan Khazanah al-Fattaniyyah, hlm. 2-7.

Al-Barzanji. Surabaya, tanpa tarikh dan Singapura, tanpa tarikh, hlm. 2-3

Nawawi al-Bantani rh. Madarij al-Su’ud ila ‘ktisa’ al-Burud, Surabaya, tanpa tarikh dan Singapura, tanpa tarikh, hlm. 2-3.

Bahasa simbol bagi orang awam lebih menarik oleh sebab kebanyakan orang awam tidak mampu memahami argumen-argumen yang bersifat demonstratif (burhani), tetapi paham terhadap argumen-argumen yang bersifat dialektik (jadali) atau retorik (khitabi).

Bruno Guiderdoni. 2004. Membaca Alam Membaca Ayat. Bandung, Mizan, hlm. 103.

Simuh. 1996. Tasawuf dan Perkembangannya dalam Islam. Jakarta, Raja Grafindo Persada.

Hadith tersebut di atas dikutip oleh Muhyiddin Ibn ‘Arabi. Futuhat al-Makkiyah. Jilid II, hlm. 399. Lihat juga Jalaluddin al-Suyuthy. 1978. al-Durar al-Muntathirah fi al-Ahadith al-Musthtahirah. Mesir, Dar al-Kutub al-Arabiyah, hlm. 126.

Harun Nasution. 1973. Falsafah dan Mistisisme dalam Islam. Jakarta. Bulan Bintang,

Ismail Hamid. 1988. Antologi Hikayat Nabi Muhammad Suatu Analisis. Bangi, Selangor, Malaysia. Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 4-5.

Di sisi lain pembahasannya agaknya, pengkaji Hikayat ini setuju dengan pendapat Zaki Mubarak yang mengatakan bahawa sebahagian daripada cerita tersebut lahir daripada tradisi ahli sufi untuk menarik minat orang awam dan nyatanya cerita-cerita ini memberi sumbangan untuk menanamkan semangat keagamaan di kalangan orang awam dalam masyarakat Islam. Lihat Ismail Hamid. 1988. Antologi Hikayat Nabi Muhammad Suatu Analisis, hlm. 6-7.

Lihat. Abdullah al-Qari. Hj. Salleh. Tanpa tahun. Salah Faham tentang Nur Muhammadi. Kenali Kelantan. Pustaka Asa, hlm. 4-5.

Abdullah al-Qari. hj. Salleh. Tanpa tahun. Salah Faham tentang Nur Muhammadi, hlm. 4-5.

Abdullah al-Qari. hj. Salleh. Tanpa tahun. Salah Faham tentang Nur Muhammadi, hlm. 4-5.

Abdullah al-Qari. hj. Salleh. Tanpa tahun. Salah Faham tentang Nur Muhammadi, hlm. 4-5.

Abdullah al-Qari. hj. Salleh. Tanpa tahun. Salah Faham tentang Nur Muhammadi, hlm. 4-5.


Tidak ada komentar:

bismi

yang lain lagi di sini

RENUNGAN